Sunday, October 10, 2010

Perkhidmatan awam dan Kabinet

Oleh - Abdul Aziz Bari


Khairy Jamaludin betul apabila, pada 2 September lalu, menyatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar. Di bawah sistem Westminster yang kita amalkan sekarang, perkhidmatan awam yang buat masa ini berjumlah sekitar 1.2 juta orang, adalah sebahagian daripada kerajaan. Bagaimanapun perkhidmatan awam perlu berkecuali dalam erti kata ia tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Tegasnya kakitangan awam boleh mengundi parti pembangkang di dalam pilihan raya.

Mengapa kakitangan awam yang merangkumi angkatan tentera dan polis perlu berkecuali? Ini ialah kerana dengan cara itu sahaja mereka boleh memberi khidmat kepada rakyat dengan profesional dan tidak menganiaya mereka. Jika perkhidmatan awam tidak berkecuali ia akan menjadi alat parti pemerintah. Perlembagaan menjamin kedudukan dan peranan perkhidmatan ini melalui adanya pelbagai suruhanjaya perkhidmatan dan pelbagai peruntukan yang tidak membolehkan mereka dibuang kerja begitu sahaja oleh kerajaan yang memerintah.

Kedudukan berkecuali perkhidmatan awam ini tidak difahami oleh ramai orang. Ini tidak memeranjatkan kerana kita tidak pernah khususnya di peringkat persekutuan diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional (BN). Dan, parti ini memang tidak pedulikan perlembagaan sangat. Sebab itu di bawah pentadbiran Mahathir kakitangan awam dipaksa menerima aku janji yang jelas bertentangan dengan doktrin keberkecualian perkhidmatan awam tadi.

Peranan dan fungsi perkhidmatan di seluruh dunia Westminster sama; yakni memberi nasihat secara profesional dan tidak memihak kepada kerajaan yang, sesuai dengan sifat politik itu sendiri, datang dan pergi serta tidak kekal. Bagi memastikan kemantapan kedudukan dan peranan kakitangan awam mereka hanya perlu setia kepada negara dan dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan.

Berbalik kepada isu kali ini yakni kakitangan awam yang terlalu ramai, mengapa sampai jadi begitu dan apa kesan buruknya kepada sistem dan negara kita? Saya tidak pasti mengapa. Tetapi, saya yakin bahawa saiz perkhidmatan awam yang terlalu gemuk itu adalah beban yang tidak perlu kepada rakyat, khususnya pembayar cukai.

Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang dan mungkin kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang perlu mengambil berat. Saya ingin mencadangkan supaya Pakatan mengecilkan Kabinet mereka. Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa untuk negara yang penduduknya berjumlah sekitar 28 juta ini Malaysia memerlukan hanya sekitar 20 orang menteri sahaja. Negara India yang mempunyai lebih 1 bilion rakyat itu pun hanya mempunyai sekitar 30 orang menteri sahaja.

Saya sebut Kabinet di sini kerana ia membuat dasar yang kemudian dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Dalam konteks perbincangan kita minggu ini perkhidmatan awam tidak boleh dikecilkan dengan mudah. Seperti yang saya sebutkan tadi kedudukan dan hak mereka dilindungi oleh perlembagaan. Saya rasa antara sebab mengapa perkhidmatan awam jadi gemuk ialah kerana kabinet diperbesarkan tanpa berfikir oleh BN. Agak jelas di bawah pentadbiran BN, kabinet dibentuk berdasarkan politik dan bukan keperluan negara. Tegasnya, BN hendak memastikan semua parti komponennya mendapat habuan melalui jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen.

Kabinet yang gemuk itu menyebabkan pembentukan kementerian yang begitu banyak jumlahnya. Ini perlu diberhentikan oleh PR.

Bagi memastikan supaya falsafah dan idea yang betul tentang perkhidmatan awam dapat dikembalikan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji isu-isu itu perlu ditubuhkan. Hal ini telah dilakukan beberapa kali di United Kingdom dalam tempoh 40 atau 50 tahun kebelakangan ini. Dalam soal ini veteran perkhidmatan awam, pakar pentadbiran dari kalangan akademik dan seterusnya perlu dilantik bagi mengkaji dan mencadangkan syor-syor yang perlu bagi menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam.

Ini bermakna bahawa selain berpolitik, tokoh-tokoh PR perlu merenung dan berfikir apakah bentuk negara dan pentadbiran yang mereka hendak kemukakan kepada rakyat. Dan ini adalah sebahagian daripada apa yang kita sering sebut sebagai politik baru selepas tsunami politik Mac 2008. Idea-idea itu juga perlu untuk kita menangani sabotaj yang didakwa dilakukan oleh BN di negeri-negeri yang PR perintah.



* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun

Saturday, August 28, 2010

Felda Kena Bayar 11 Juta

Felda diperintah bayar RM11j

PUTRAJAYA - Felda tiada pilihan kecuali membayar RM11 juta ganti rugi kepada 354 peneroka sebagai bayaran bagi buah kelapa sawit setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya agar mahkamah yang sama menyemak semula keputusannya pada 19 Jan lepas yang tidak membenarkan agensi itu merayu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3, Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah semalam.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. - Bernama

Wednesday, August 25, 2010

Doa untuk bukan Muslim

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin
ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin | Ogos 24, 10 3:50pm

Monday, August 23, 2010

Orang Islam boleh laksana hudud: Seng Giew

SHAH ALAM – DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud kerana ia adalah perkara yang tidak disenangi oleh orang bukan Islam dan Barisan Nasional (BN) diminta tidak mengeruhkan perhubungan DAP dan Pas berhubung perkara ini.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giew berkata, orang Islam boleh menggunakan dan melaksanakan hukuman ini, manakala orang bukan Islam mempraktikkan hukuman yang ditetapkan kepada mereka mengikut undang-undang yang dipersetujui bersama.

“Orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana hukuman berkenaan hanya dijatuhkan kepada pesalah yang beragama Islam setelah melakukan penyiasatan dengan teliti.

“Hukum hudud adalah isu yang sangat sensitif dan memerlukan perbincangan yang teliti oleh semua pihak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa dekad ini, hukum hudud disarankan oleh sebahagian individu yang terdapat di dalam parti BN.

Seng Giew berkata, dahulu BN menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan DAP dan Pas. Dan sekarang keadaan kedua-dua parti semakin tenang, kami sudah berjaya mengatasinya.

“Dalam Pakatan Rakyat (PR) isu-isu sensitif dan menyentuh agama dielakkan, umum mengetahui bahawa PR terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan hukum hudud bagi menggantikan undang-undang sivil adalah cara terbaik untuk menangani masalah jenayah dan sosial yang semakin berleluasa.

Sunday, August 15, 2010

Pilihan raya berasingan boleh - ABDUL AZIZ BARI

Isu pilihan raya berasingan antara Parlimen dan negeri banyak diperkatakan bulan lalu. Bagaimanapun sebenarnya ia sudah dibangkitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tahun lalu dan disebut awal bulan lalu di London oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli. Kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat itu mahu negeri-negeri yang mereka perintah mengadakan pilihan raya berasingan dengan pilihan raya Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri yang juga pemimpin nombor dua UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yasin, tidak setuju dengan pendapat Pakatan itu dan mengatakan kata putus berada di tangan SPR.

Apakah pemimpin BN itu betul? Di sisi perlembagaan, kuasa SPR hanyalah melaksanakan pilihan raya dan mengemaskinikan daftar pemilih. Dalam sistem Westminster yang kita amalkan, pilihan raya ditentukan kerajaan yang memerintah. Ini berbeza dengan sistem di Amerika Syarikat di mana pilihan raya ditetapkan awal-awal: dalam konteks pemilihan presiden setiap empat tahun. Selalunya ia diadakan pada November.

Bagaimana kerajaan yang memerintah menentukan tarikh pilihan raya? Di sisi undang-undang ini tidak disebut, tetapi ia disebut kerana Dewan dibubarkan dengan permintaan kerajaan yang memerintah. Sebab itu timbul kuasa Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan. Apa pun, sama ada Dewan boleh dibubar atau tidak bergantung pada perkenan Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri ia terletak di tangan Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri masing-masing, mempertimbangkan permintaan membubar oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Jelas soal pembubaran – membawa kepada pilihan raya yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu – adalah isu antara ketua negara atau ketua negeri dan ketua kerajaan memerintah. SPR tidak ada peranan langsung. Tugas dan kuasa SPR hanya berbangkit selepas Dewan dibubarkan. SPR tidak boleh membangkitkan soal kos: apabila Dewan sudah dibubarkan SPR tidak ada pilihan; ia mesti melaksanakan tugas ditetapkan perlembagaan.

Sejak setahun kebelakangan ini SPR dengan tidak semena-mena mempunyai begitu banyak kuasa. Selepas rampasan kuasa di Perak, SPR ada kuasa menentukan kekosongan kerusi di dalam Dewan. Ini sebenarnya menyalahi perlembagaan. Malangnya ini disahkan mahkamah melalui gimnastik perundangan yang ganjil.

Selepas kenyataan Muhyiddin itu, SPR pun bersilat dan menghujah betapa pilihan raya berasingan antara negeri dan Parlimen tidak baik. Berbelit-belit Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya Datuk Wan Omar Ahmad memberi alasan; termasuk menyeret kuasa istana. Ini salah kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong – dan Raja dan Yang di-Pertua Negeri – hanya relevan apabila ada permintaan membubar. Mereka tidak boleh membubar Dewan dengan sendiri; yakni tanpa ada permintaan daripada kerajaan yang ada.

Kuasa membubar sendiri mungkin ada, tetapi dalam keadaan luar biasa seperti apabila kerajaan yang ada itu enggan membuat permintaan membubar Dewan kerana tidak mahu pilihan raya diadakan. Pendeknya kuasa budi bicara untuk memperkenan atau menolak permintaan membubar itu perlu dilihat dalam konteks raja berperlembagaan.

Betapa tidak signifikannya kuasa istana dalam soal pembubaran dapat kita lihat pada 2008 apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, membuat silap mata dengan media. Di sebelah pagi beliau berkata Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan. Bagaimanapun tidak sampai 24 jam dengan pemasyhuran dikeluarkan. SPR perlu melihat semula insiden itu. Kenapa sekarang peranan istana jadi penting?

Hujah-hujah dikemukakan Aziz dan Wan Omar itu juga bertentangan dengan apa berlaku selama ini. Sarawak contohnya mengadakan pilihan raya berasingan sejak krisis politik Stephen Kalong Ningkan pada 1966. Begitu juga Kelantan yang pernah mengadakan pilihan raya negeri pada Mac 1978; selepas darurat diisytiharkan kerajaan BN. Sabah juga pernah mengadakan pilihan raya negeri berasingan pada 1976 dan 1985.

Sebagai badan bebas, SPR tidak harus menari dengan rentak yang dipalu BN yang jelas tidak selesa dengan pilihan raya sejak 2008. Kita lihat bagaimana pilihan raya kecil untuk kerusi Bukit Seputeh di Kedah dielakkan. Begitu juga peletakan jawatan ADUN MCA di Perlis, kontroversi kes Tian Chua di Parlimen Batu dan tahun lalu kita lihat bagaimana mahkamah memutuskan kerusi Parlimen Pensiangan di Sabah tidak jadi dikosongkan.

Dalam konteks federalisme, Pusat tidak boleh campur dalam urusan negeri. Sebagaimana dijelaskan tadi, pembubaran adalah soal eksklusif dua pihak tadi: kalau di Pulau Pinang ia di antara Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Yang di-Pertua Negeri. Negeri-negeri Pakatan boleh memilih untuk terus memerintah sehinggalah Dewan masing-masing bubar secara automatik pada 2013, yakni lima tahun selepas ia bersidang buat pertama kali pada 2008. Jika mereka memilih untuk berbuat demikian, Raja atau Yang di-Pertua Negeri tidak mempunyai kuasa langsung dalam soal pembubaran Dewan.


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang lebih 20 tahun.

Monday, November 16, 2009

Kota Siputeh diisytihar kosong

Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan."Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang.
"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakilrakyatnya.Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speakerselama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009."Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya."Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat,"katanya.Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan."Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. - Bernama

Sunday, November 15, 2009

Royalti: Keikhlasan UMNO ditagih - Dr. Aisar Yee Abdullah

Terengganu, Sabah dan Sarawak masing-masing dibayar royalti petroleum yang ditemui di pesisir pantai negeri-negeri berkenaan. Jumlah royalti yang dibayar adalah mengikut jumlah minyak yang ditemui. Di bawah Petroleum Development Act, Petronas dikehendaki membayar lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui di daratan atau di pesisir pantai mana-mana negeri di Malaysia. Petronas berupa penyumbang besar kepada hasil Kerajaan Pusat. Pada 2008, bayaran Petronas kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk dividen, cukai dan cukai eksport membentuk 45 peratus daripada pendapatan kerajaan. Kerajaan Negeri yang hanya menerima lima peratus sahaja daripada royalti petroleum mendapat manfaat besar dan mampu membangun negeri dari kadar sekecil itu. Tersergamnya masjid-masjid indah di Terengganu mempamerkan nikmat itu. Kelantan mula membuat tuntutan mendapatkan royalti petroleum. Gerakan membuat tuntutan itu diperhebat semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai. Isu kemunduran Manek Urai yang dibangkitkan UMNO menjadikan Kelantan lebih ghairah menuntut royalti membangunkan negerinya. Kelantan menuntut, berdasarkan perjanjian yang ditandatanganinya di antara Tengku Razaleigh, Pengerusi Petronas merangkap Ketua Eksekutifnya (ketika itu) yang mewakili Petronas dan Datuk Haji Mohamed Nasir mewakili Kerajaan Kelantan, ia berhak dibayar royalti. Dua perjanjian dimeterai. Satu Kelantan bersetuju menyerahkan hak mengendali petroleum yang ditemui di dalam perut buminya dan di pesisir pantai negerinya kepada Petronas dan perjanjian kedua di mana Petronas bersetuju membayar royalti sebagai balasan kepada penyerahan hak itu. Kajian-kajian awal oleh Petronas ketika itu sudah mendedahkan bahawa petroleum ditemui di perairan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Tengku Razaleigh baru-baru ini mendedahkan bahawa dia meminta izin Tun Abdul Razak untuk membayar royalti itu kepada negeri-negeri berkenaan sebagai usaha membawa negeri-negeri berkenaan menjadi maju. Razaleigh sedar bahawa negeri-negeri di Pantai Timur dan Malaysia Timur amat mundur dan wang royalti yang dibayar nanti boleh mengimbangi kemajuan yang dicapai oleh negeri pantai barat. Razaleigh sedar negeri-negeri yang mundur ini kebanyakannya dihuni oleh orang Melayu dan Bumiputera. Tun Razak bersetuju dengan idea Razaleigh dan memberi keizinannya. Dengan adanya wang royalti itu pun, negeri-negeri berkenaan belum berjaya mengatasi kemajuan dicapai oleh negeri-negeri lain di Malaysia. Pengagihan wang royalti tidak mengalami masalah di Sabah dan Sarawak memandangkan negeri itu terus menerus dikuasai BN. Di Terengganu, pembayaran menjadi tidak lancar ketika Pas memerintah negeri tersebut buat sepenggal. Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, menghentikan bayaran kepada Kerajaan Negeri berdasarkan alasan bayaran itu bukanlah hak mutlak Kerajaan Negeri. Dia menganggap itu sebenarnya berdasarkan ihsan Kerajaan Pusat semata-mata. Dia mengetepikan perjanjian ditandatangani sebelum ini. PM selepasnya pula menolak hak Kelantan di atas dasar penggalian petroleum itu dibuat di luar kawasan Kelantan. Kerajaan Kelantan sebaliknya berusaha keras untuk membuktikan bahawa ia sememangnya terletak dalam perairan Kelantan. Satu ekspedisi dihantar ke pelantar Cakrawala pada awal Ogos tahun ini untuk membuktikan itu. Perkara itu disahkan anggota Exco, Datuk Husam Musa yang mengetuai ekspedisi ke pelantar petroleum Cakrawala itu. Selain itu, terdapat tiga lagi telaga petroleum yang juga berhampiran perairan Kelantan. Kedudukannya hanya sejauh 68 batu dari perairan Tok Bali. Nik Aziz, dalam kenyataan ringkasnya selepas menyambut kepulangan rombongan ekspedisi tersebut meminta Kerajaan Pusat khususnya Najib memandang serius kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh, supaya Kerajaan Pusat membayar royalti tersebut kepada Kelantan. Ekspedisi misi royalti bagi meninjau kawasan pengeluaran petroleum di pelantar minyak Cakrawala menggunakan bot nelayan meredah Lautan Cina Selatan memakan masa lebih 26 jam pergi dan balik. Misi yang menyabung nyawa itu di mana mereka yang pergi hanya menaiki bot ikan sahaja dibuat di atas tekad untuk meyakini bahawa penggerudian di buat di atas bumi Kelantan. Bagi mereka yang menyertai misi Kerajaan Kelantan ini, mereka tidak takut semata-mata kerana mahu mempertahankan prinsip. Ada dakwaan mengatakan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, Alwi Che Mat, Ketua Pembangkang DUN Kelantan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa Mohamed turut dijemput menyertai rombongan ini tetapi mereka menolak. UMNO mempunyai peluang besar untuk menang di Kelantan jika ia mampu memberi gambaran jelas tentang kedudukan duit royalti ini. Kedudukan pelantar yang tidak jauh berbeza dengan yang kedapatan di Terengganu meyakinkan rakyat Kelantan bahawa mereka menjadi mangsa politik. Semasa pemerintahan BN di Terengganu, bayaran royalti petroleum dilangsaikan sebagaimana yang tersebut dalam perjanjian. Selepas Pas mengambil alih pentadbiran negeri, bayaran itu dimansuhkan dan diganti dengan bayaran berbentuk wang ihsan. Sebelum itu bayaran dibayar terus ke kantung perbendaharaan negeri tetapi selepas mengalami kekalahan di Terengganu, Mahathir mengarahkan Petronas membayar terus kepada satu tabung yang diurus oleh pentadbiran UMNO negeri dan bahagian. Wang itu dibelanjakan UMNO untuk projek gelombang birunya yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pas. Barangkali, teknik yang sama ingin digunakan di Kelantan apabila Najib mengumumkan pemberian wang ihsan untuk Kelantan yang disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan yang diyakini akan menurut telunjuk pemimpin UMNO tempatan. Pengumuman Najib itu langsung tidak merangsang kegembiraan di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Mereka menuntut bayaran wang royalti sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian di antara Kerajaan Kelantan dan Petronas dulu. Lagipun, orang yang bertanggungjawab merangka perjanjian itu, Tengku Razaleigh sendiri mengaku bahawa Kelantan berhak menerima bayaran royalti dan bukannya wang ihsan. Pengumuman Najib sangat mengecewakan rakyat dan negeri Kelantan. Pastinya mereka rasa dipermainkan. Berdasarkan pengumuman dibuat, bayaran wang ihsan akan bermula hanya pada tahun depan. Kenapa tahun depan sedangkan pengeluaran dari pelantar yang terletak di Kelantan bermula tahun 2005? Kenapa tiada tunggakan bermula 2005 hingga 2009? Tentu wang itu sudah pun diperuntukkan oleh Petronas dan ke manakah lesapnya wang itu? Rakyat Kelantan inginkan jawapan. Bayaran wang ihsan sebagaimana diumumkan baru-baru ini akan berdasarkan pengeluaran dan penjualan hasil dari pelantar Bumi Selatan sahaja. Rekod menunjukkan terdapat sekitar 35 telaga beroperasi di Kelantan. Adakah semuanya terletak dalam lingkungan Bumi Selatan? Kalau tidak, kenapa dan di manakah terletaknya yang lain? Siapakah berhak membelanjakan wang ini tanpa restu Kelantan? Paling malang bagi rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan ialah wang ini akan dibelanjakan di luar kawalannya. Ingatan orang ramai akan kembali pergi ke Terengganu di mana wang itu belanjakan sewenangnya untuk projek yang membazir seperti Monsoon Cup. Akan berulangkah sejarah? Mahathir sendiri pernah menulis ini: “We know that since the BN regained Terengganu in 2004, all kinds of projects have been developed in Terengganu. This includes The Monsoon Cup, luxury housing for sale to foreigners, Crystal Mosque and theme park, university, etc. Some of these projects are very good but many are totally unnecessary and wasteful.” Beliau mengakui banyak projek membazir dibuat dan banyak tidak menguntungkan rakyat Terengganu. Kontrak pun diberikan kepada orang luar Terengganu. Menteri Besar Terengganu hari ini, Ahmad Said pernah mengadu bahawa jalan berharga puluhan juta dibangunkan di dalam hutan menggunakan dana wang ihsan ini! Kelompok yang amat berpengaruh untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan ialah UMNO negeri Kelantan. Ia tidak boleh berpeluk tubuh memerhatikan gelagat ini. UMNO Kelantan hendaklah berusaha agar setiap sen wang ini menjadi milik rakyat Kelantan. Ia tidak perlu bermain politik. UMNO Kelantan tidak boleh mengaku bahawa ialah yang bertanggungjawab menyebabkan Kerajaan Pusat membayar wang ihsan ini. Semasa para pemimpin Kerajaan Negeri bising membuat tuntutan, UMNO Kelantan berpeluk tubuh sahaja. UMNO Kelantan hendaklah bertindak supaya bukan wang ihsan yang dibayar tetapi royalti penuh dan bukan kepada jabatan Kerajaan Pusat tetapi Kerajaan Negeri dan bukan bermula tahun 2010 tetapi 2005, iaitu tarikh mula minyak dikorek daripada perut Kelantan. UMNO hendaklah menunjukkan ia ikhlas dan pastinya suatu hari nanti jasa UMNO Kelantan akan dihargai oleh rakyat Kelantan. Penuhilah hasrat mulia Tengku Razaleigh yang ingin melihat negeri-negeri yang ramai berpendudukan Melayu dan Bumiputera itu maju. Janganlah membuat UMNO dilihat sebagai satu parti yang berusaha keras membantut kemajuan orang Melayu Kelantan semata-mata kerana perbezaan politik. UMNO hendaklah berpegang teguh kepada konsep Satu Kelantan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.